Saturday, March 10, 2012

KIRIM SALAM UZTAZ EH! - PART 2

...HAPPY READING...

panjang ni...
take your time..... baca perlahan-lahan eh...(^_^)

♥♥ **************************************************** ♥♥


Assalammualaikum Cik Nini, sibuk? – Hanif

Kenapa la dia masih lagi rajin menghantar SMS, adakalanya dia menalifon aku. Apa tunang dia sibuk ke sebab tu dia cari aku?. Memang dia tidak pernah luahkan perasaannya kepada aku, tapi aku? Perasaan aku pada dia cukup dalam. Aku tak boleh teruskan semua ini, boleh bayangkan tak suatu hari tiba-tiba sahaja dia memberikan kad undangan ke majlis persandingannya, boleh ke aku terima? Boleh ke aku pura-pura tersenyum kononnya tumpang bahagia?

Aku tak mahu jadi hipokrit, sakit memendam rasa. Beringat sebelum kena, biarlah aku merana ketika ini, biarlah. Aku tak mahu sakit dikemudian hari. Sejak dari hari tu aku mula jarakkan diri aku daripadanya. SMS dan panggilan dari dia kadang-kadang sahaja aku balas, aku tak mahu dia terus menerus bermain dengan perasaan aku.

Kebetulan sekarang ini cuti sekolah, maka aku tak perlu lagi menghantar Nana ke tempat mengaji kerana waktu mengaji telah di anjakkan ke waktu pagi. Ayah aku la yang akan menghantar dan mengambil buah hati dia yang bongsu itu setiap hari. Secara tak langsung aku tidak lagi lah bertemu dengan Hanif. Begini lebih baik.

“ Assalammualaikum…..tak jawab dosa..!” suara Nana bergema di luar.

Aku terus tersenyum abang aku dah balik! Cepat-cepat aku keluar dari bilik untuk menyambut kepulangan abang ku.

Jarak umur aku dengan abang tak jauh, lima tahun cuma. Dia lah kawan aku, dia juga lah musuh aku. Kami amat rapat, ye la dulu kami dua beradik je. Bila kami dah besar baru Nana lahir. Pandai tak ayah dan ibu aku buat perancangan?

Lebih dari lima tahun abang ke luar negara menyambung pelajarannya. Sekarang ni dah dapat tittle doktor pun . Doktor Irfan Hadif, bangganya aku. Aku ni tidak la sepandai abang, result pun cukup makan. Tapi aku tetap bersyukur dengan apa yang Allah anugerahkan kepada aku. Alamak touching la pula.

“ Abang..!!” jerit ku sebaik sahaja melihat abang. Cepat-cepat aku dapatkan dia dan kami berpelukkan melepaskan rindu.

“ Gemuk dah awak, “ komen ikhlas dari abang buatkan senyuman aku yang sedari mekar kini hilang. Buat hilang mood betul!

“ Ala….tak kan nak merajuk kot. Abang gurau je.” Abang terus menarik pipi aku.

“ Sakit lah…!! Mana coklat dan janji kan hari tu?” lagak aku dah macam Nana, mungkin lebih.

“ Biar lah abang tu letak bag, rehat-rehat dulu…” sampuk Ibu.

“ Entah kakak ni, kesian abang kan Ibu?” Nana pula menyampuk, Nana sentiasa mencari peluang untuk mengenakan aku dan kali ini dia mendapat peluangnya. Tak mengapa ada lori ada bas, ada hari boleh balas!.

“ Dah…dah..jom tolong abang buka beg ni, kita tengok apa yang ada.” Nana dan aku berebut-rebut meluru dapatkan bag abang, sungguh tidak matang perangai aku ketika itu. Apa kisah, dengan famili sendiri je pun, bukan depan orang ye tak? Bukan depan Hanif.

Ingatan aku kepada Hanif mulai pudar, buat apa ingatkan dia lagi best dapat bongkar bag abang dan lepas ni pasti lebih seronok. Kami akan pergi bercuti sekeluarga, seronoknya!!

♥♥ **************************************************** ♥♥

Sudah berbulan rasanya aku tidak berhubung lagi dengan Hanif, kelibat dia pun aku dah tak nampak. Bila tanya Nana, jawapannya asik la tak tahu. Tapi dia tetap ada mengajar mengaji. Pada fikiran ku, pastinya sekarang ni dia sibuk dengan persiapan perkahwinan dia. Siapa lah aku ni, buat apa nak ingatkan aku, dalam teringatkan dia tiba-tiba sahaja telefon aku berbunyi. Nah, SMS dari dia. Macam tahu-tahu je aku terfikirkan dia.

Assalammualaikum,
Cik Nini apa kabar, sihat? Sibuk ye sekarang ni?

Entah kenapa laju sahaja tangan ku menekan kekunci telefon, membalas SMS Hanif.

Wa’alaikumsalam, Alhamdulillah sihat.
Sibuk? Tak sangat lah biasa-biasa saja.

Tidak sampai beberapa saat, dia pula menalifon aku. Agak kaget juga untuk menjawab, namun aku gagahkan diri juga menekan butang hijau itu.

“ Maaf lah kalau saya menggangu.” Katanya sopan.

“ Tak lah, bukan buat apa sangat pun.”

“ Bukan apa, risau ada orang marah pula bila saya call awak ni.” Nada suaranya berbaur sindiran.

Aku mula pelik, siapa yang marah siapa ni? Bukan kah dia yang patut risau kalau-kalau tunang dia cari saat ini.

“ Tak ada orang marah pun, lain lah awak tu. Tak risau ke kalau ada orang cari?” Aku balas kembali.

“ Sama lah, mana ada orang nak cari. Siapa lah saya ni.”

Eh mamat ni, nak merendah diri pula. Kasanova betul, konon tak ada orang cari, tunang kau tu nak letak mana? Lelaki..lelaki..tak pernah cukup satu.

“ Hmm….ada apa awak call ni, nak jemput saya ke majlis awak ke?”

Hanif terdiam seketika, ha..tentu dia dah kantoi. Dia mungkin ingat yang aku tak tahu apa-apa. Ini Iffa haryani binti Isa la, bukan senang-senang nak memperbodohkan aku. Sekilas ikan di air sudah ku tahu jantan betina, sekilas lirik pandangan mata mu sudah ku tahu yang kau sudah berpunya! Ok..ini tipu, kalau aku tahu dia dah berpunya tidak la aku membenarkan hati ini untuk jatuh cinta pada dia.

“ Majlis saya lambat lagi, tunggu majlis awak dulu. Bila langsungnya? Boleh juga saya datang tolong apa yang patut.” Jawapan Hanif buatkan hati aku bertambah sakit. Masih tidak mahu mengaku, masih berselindung.

Kenapa la dengan mamat ni? Tak kesian ke dekat tunang tu. Mujur lah aku cepat sedar, mujur Allah dah tunjukkan kepada aku siapa Hanif yang sebenar.

Patutnya orang yang dah nak kahwin, takkan kisah dengan perempuan lain, tapi dia….apa dia kena kahwin paksa ke? Ala macam dalam kebanyakkan cerita novel zaman sekaran ni, kena kahwin paksa? Ala..mula-mula saja benci lepas tu kan sayang.

“ Apa yang awak cakapkan ni, bukan ke awak yang dah bertunang? Tapi sikit pun awak tak bagi tahu saya.” Akhirnya aku luahkan segala, penat bila terpaksa berpura-pura yang kita tak tahu apa-apa.

“ Awak ke saya? Saya nampak awak bukan main mesra dengan tunang awak kat bandar hari tu. Berpegang-pegang tangan, siap keluar dengan family awak sekali.” Suara Hanif sedikit tinggi.

“ Dari mana awak dapat tahu saya dah bertunang? Suka-suka saja cakap yang bukan-bukan. Jangan nak cakap sebarangan semata-mata nak menutup salah awak!” Kalau dia boleh tinggikan suara, kenapa tidak aku?

“ Dari mana pulak awak dapat tahu yang saya dah bertunang?” Hanif mengulang kembali soalan aku, tapi suaranya semakin mendatar. Terkejut mungkin dengan aku. Ha..tahu pun takut!

“ Saya dengar sendiri lah, saya nampak dengan mata kepala sendiri awak masuk ke kedai menjual barang-barang perkahwinan dekat dengan MayBank tu dengan isteri Ustaz Wan dan seorang perempuan muda, perempuan tu tunang awak, betul tak? Saya sendiri dengar isteri Ustaz Wan bercerita dengan pekedai di situ yang awak dah bertunang hujung tahun lepas dan hujung tahun ni awak nak kahwin.” Lega! segala apa yang terbuku di hati sudah aku luahkan, tak perlu lagi cakap berlapik-lapik.

Hanif terdiam sejenak.

“ Habis tu lelaki yang saya nampak di pasaraya sama-sama dengan awak dan family tu siapa?” soalnya perlahan. Hati aku yang sedari panas, bertambah panas.

“ Itu abang saya lah, abang kandung saya.!!” Talian di matikan. Aku menangis semahunya melepaskan segala kemarahan, geram terhadap Hanif.

Muka nampak baik, tapi sebenarnya penipu, dasar kasanova! Kenapa kau harus mempermainkan perasaan aku Hanif..kenapa?

♥♥ **************************************************** ♥♥

Sejak dari hari tu, bayangan Hanif memang benar-benar hilang, di tempat mengaji Nana pun tiada. Cerita Nana, Hanif sudah pulang ke Terengganu. Aku hanya mampu berdoa agar kebahagiaan sentiasa menjadi milik dia selamanya. Kalau dia gembira, aku pasti akan turut sama gembira. Kehidupan perlu di teruskan.

Bukan mudah untuk aku jatuh cinta, tapi bila aku jatuh cinta begini pula jadinya. Hai nasib badan la labu……aku redha dengan semua ini dan aku yakin Allah sedang mengaturkan yang terbaik buat aku. Aku cuma perlu bersabar. Sabar itu kan separuh dari iman.

“ Dah sampai mana tu Iffa?” teguran Kak Mira mengejutkan kau dari lamunan.

“ Err…dah sampai London la kak,” aku berseloroh.

“ Tak sudah-sudah dengan London kau tu, sampai nya tidak lagi.” Aku sekadar tersengih.

Ya London menjadi tempat impian aku. Memang aku berangan-angan untuk sampai ke sana. Bila? Entah la kewangan aku masih belum kukuh. Duit gaji yang aku dapat ni pun cukup makan saja. Hari ni dapat, esok dah habis, jadi mana ke hasilnya untuk aku ke sana? Lain la kalau ada yang sponsor. Kecil tapak tangan, Stadium Bukit Jalil aku tadahkan.

“ Mesti kau teringatkan mamat Ganu tu kan? akak tahu kau sedih, sabar lah.” Pada Kak Mira aku curahkan segalanya, dari A sampai Z aku kongsikan kepada Kak Mira.

“ Tak ada apa la kak, dah lama pun benda tu berlalu.”

“ Akak carikan tuk Iffa nak?” Ah sudah, Kak Mira pula nak carikan jodoh untuk aku.

“ Hai…sejak bila pula akak jadi match maker ni?”

“ Sejak akak tengok Iffa macam orang mati laki, termenung sana, temenung sini. Kat kampung akak tu ada juga la saudara mara yang single, mahu ke? Akak boleh tolong carikan.” Kak Mira dah mula membuat tawaran.

Erk..!! cara Kak Mira cakap ni macam aku tengah desperate pulak. Aku muda lagi lah, baru 27 tahun. Banyak masa lagi.

“ Iffa dah 27 tahun, bukan muda lagi. Sampai bila nak tunggu? Akak time umur macam Iffa ni, anak kedua akak si Danial dah ada dalam perut tau.” Aduh, kenapa intonasi Kak Mira dah sama macam intonasi bebelan ibu?

“ Sampai jodoh nanti, saya kahwin la kak. Kalau di takdirkan saya tak kahwin seumur hidup pun saya redha.” Ya…aku pasrah. Aku sedar, aku ni bukan cantik. Siapa la yang nak.

“ Ish kau ni! Masin mulut kau nanti baru tahu.!” Marah betul Kak Mira dengan kata-kata aku. Aku? senyum saja lah. Siapa yang tak nak kahwin?

Aku teringat kata-kata Ibu selang beberapa malam yang lepas, topik utama dah tentu la pasal kahwin. Abang tu tak ada pulak ibu nak bising-bising suruh kahwin. Aku pula yang di asak-asak suruh cepat.

“ Lambat kahwin, nanti nak beranak pun susah.” Calon suami pun aku tak ada, ibu dah mula sebut-sebut pasal anak?

Adakalanya semua ini mendatangkan tekanan buat aku. Bila aku suarakan ketidak puasan hati aku, laju je abang menjawab.

“ Abang ni baru nak mula kerja, duit tak ada lagi macam mana nak kahwin. Lagi pun lelaki kalau kahwin lambat taka pa. Lagi lambat kahwin lagi tinggi sahamnya, tak macam perempuan.” Ini la abang yang baik, bukan nak bela adik dia, dia pun sama naik bersekongkol dengan ibu.

“ Susah-susah sangat, siapa saja yang masuk meminang, ibu terima je.” Aku memandang ibu sekilas, nampak serius.

“ Suka hati ibu la, Iffa ikut je..” jawab ku malas. Terus aku angkat kaki masuk ke dalam bilik.

Adakalanya aku rasa macam aku ni perempuan yang paling hodoh di muka bumi ini. Orang pandang pun tak mahu. Adakalanya aku rasakan ingin sahaja aku keluar dari rumah, bina dunia aku sendiri. Aku terasa seperti bebanan untuk ayah dan ibu. Ye la dah 27 tahun, tapi masih menumpang di rumah mereka.

Bila ibu bebel-bebel, kemuadian telepas cakap pasal kahwin, jujur aku kata kan aku terasa hati dengan ibu. Tapi apa saja lah yang boleh aku buat, aku hanya mampu menelan kata-kata itu walaupun kata-kata itu tidak semanis gula-gula tapi pahit bak hempedu.

Namun aku sedar, pasti ibu juga rasa tertekan. Lagi-lagi bila menghadiri kenduri kendara. Makcik-makcik aku yang kepochi tu pasti akan menanyakan soal yang sama pada ibu juga pada aku. Bagaikan tiada insurans mulut itu bila berkata-kata, lepas selepas-lepasnya langsung tidak memikirkan perasaan orang. Nasib baik lah si pemilik mulut itu adalah ibu saudara ku sendiri, jika dia bukan siapa-siapa sudah lama aku menghulurkan kad agen insurans aku. Biar dia beli insurans untuk jaga mulut dia!

Aku faham, sepupu aku yang sebaya malah yang lebih muda dari aku pun dah berkahwin dan beranak pinak. Aku je yang belum sampai jodohnya. Sabar lah ibu, Allah sedang menyediakan bakal suami yang terbaik untuk Iffa, bakal menantu yang baik untuk ibu. Nak yang terbaik harus la lambat sikit dalam erti kata yang lain besabar.

♥♥ **************************************************** ♥♥

Lewat jam lapan malam, baru lah aku tiba di rumah. Laporan untuk aktiviti logistik perlu aku siapkan, esoknya En Last Minute …eh maksud aku En Arshad selaku bos aku akan bawa laporan itu ke Ibu Pejabat di Kuala Lumpur untuk dibentangkan. Tekanan betul, esok nak buat perbentangan baru hari ini dia bagi tahu. Tidak ke terkocoh kacah aku dibuatnya.Tak menang tangan aku nak siapkan semuanya. Sampaikan tangan kiri buat kerja, tangan kanan suap makanan masuk ke dalam mulut.

Bukan aku sahaja yang kena, Kak Mira dan Nancy pun sama. Masing-masing kena siapkan laporan untuk jabatan masing-masing. Ini bukan lah kali pertama, dah banyak kali. Aku suka gunakan pribahasa yang aku ubah sendiri khas aku tujukan buat En Last Minute.

“ Dah terkincit…baru nak cari jamban!”

Iya aku tahu agak busuk sedikit peribahasa ni, tapi amat bertepatan. Biasanya Kak Mira akan gelak besar bila aku gunakan peribahasa itu.

En Arshad suka benar buat kerja saat-saat akhir. Kalau melibatkan dia seorang aku tak kisah sangat, tapi bila melibatkan yang lain-lain itu yang bikin angin satu badan. Mujur la dia tu ketua aku dan mujur juga dia sama-sama balik lambat untuk menyiapkan semuanya dan mujur juga dia belanja kami semua makan dari lunch bawa ke tea time. Pandai betul En Last Minute ni ambil hati kami.

Saat aku melangkah masuk ke dalam rumah, aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan keluarga aku pada malam itu. Ibu sedang melipat baju, abang sibuk dengan laptopnya, ayah dengan surat kabar dan Nana dengan kerja sekolahnya. Semuanya berkumpul di ruang tamu. Biasanya masing-masing buat hal sendiri.

Apa yang buatkan rasa sangsi aku itu bertambah kuat bila ibu sangat baik dengan aku.

“ Baru balik Iffa? Pergi la mandi dulu, dah solat maghrib belum?” soal ibu dengan mesra.

Apa kena dengan ibu hari ni, mesra betul. Selalunya tak tanya pun aku macam ni.

“ Tak..Iffa cuti. Nak mandi la ni.”

“ Cepat-cepat mandi, lepas tu makan. Ibu dah panaskan lauk dan nasi.”

Sah….. something fishy going on here. Siap panaskan lauk bagai? Selalunya aku buat sendiri semua itu. Namun aku abaikan sahaja gerak hati aku. Masuk ke bilik, aku campakkan tudung dan bag aku di atas katil dan terus terjah dapur. Bila sudah kenyang, kemas apa yang patut, aku mandi. Selesai mandi, aku kepit novel yang baru aku pinjam dari Kak Mira dan terus ke ruang tamu.

Mereka masih di ruang tamu, seolah-olah sedang menanti aku. Hati aku tiba-tiba sahaja berdebar, namun sedaya upaya aku menahan perasaan itu. Saat aku melabuhkan punggung ku ke atas sofa. Ibu mula membuka mulut.

“ Iffa…..ibu ada perkara nak cakap sikit ni.” Sah! Firasat aku benar belaka.

“ Ibu nak cakap apa?” soal ku bersahaja,

“ Nah……” membulat mata aku bila melihat ibu menghulurkan sesuatu. Ibu menghulurkan satu kotak kecil berbentuk hati yang berbalut dengan kain baldu merah.

“ Errr….apa ni bu?” soalan bodoh juga yang aku tanya.

“ Buka la dulu, tengok apa ada dalam kotak tu.” aku sempat mengerling ke arah Nana, Nana hanya tersengih-sengih. Pasti dia dah tahu apa yang berlaku.

Bila aku buka kotak kecil tersebut, sebentuk cincin emas belah rotan terletak kemas di dalam kotak itu. Terkebil-kebil aku memandang cincin tersebut.

“ Ada orang datang merisik awak petang tadi.” Aku memandang wajah ibu minta penjelasan yang lebih terperinci.

“ Awak ingat lagi kan apa yang ibu cakap kelmarin, siapa saja yang datang meminang, ibu terima.” Sambung ibu lagi.

“ Jadi ibu terima ke?”

“ Kalau ikutkan, memang ibu nak terima je. Baik budaknya, ayah pun berkenan. Nana kenal sangat dengan dia. Tapi biar lah Iffa buat keputusan, mahu atau tidak.”

Nana pun kenal? Ish siapa pulak ni? Aku merenung tajam ke arah Nana lalu bertanya,

“ Siapa Nana?”

“ Ustaz Hanif la kak……” jawabnya ceria. Amboi suka betul ye Ustaz Hanif tu jadi abang ipar dia.

“ Apa?? Si Hanif tu? ish taknak lah…..” bentak ku. Ibu dan ayah saling berpandangan.

“ Kenapa pulak? Apa yang kurang pada budak tu?. Bukan ke Iffa bercinta dengan dia?”

Gulp!! Sejak bila pula aku bercinta dengan Hanif?

“ Mana ada, kawan-kawan je. Dia tu kasanova tau. Ibu dengan ayah tahu tak yang dia tu dah……”

“ bertunang….” Abang ku yang sedari tadi mendiamkan diri kini menyampuk.

“ Ha…betul tu, dia dah bertunang. Hujung tahun ni dah nak kahwin.” Lancar saja aku menyambung dan kemudiannya aku terdiam seketika. Macam mana abang boleh tahu ni? Kalau dia tahu kenapa dia pun macam tak kisah je, rela ke dia tengok adik dia ni dipermainkan?

“ Mana abang tahu?” soalku untuk kepastian. Abang yang sedang meniarap, bangun dan duduk mengadap aku.

“ Kau orang berdua ni sengal tahu tak. Masing-masing tak nak tanya, suka sangat buat andaian sendiri, sudahnya salah faham.” Aku mengerutkan dahi tanda tidak faham dengan apa yang abang cuba sampaikan.

“ Awak ingat dia dah bertunang kan? kalau awak nak tahu, perempuan muda yang awak nampak dengan dia tu adalah anak buah dia sendiri. Anak dara Ustaz Wan, bukan kah dia dah bertunang? Sebab tu awak nampak mak dia pun ada sekali di sana. Perbualan yang awak dengar itu, bercerita tentang anak dara dia, bukan fasal Hanif.”

Aku tersandar, terkejut ada, tergamam pun ada. Aku rasanya dunia sekarang ini sedang berputar dengan ligat. Argh!! Pening. Apa semua ini?

“ Yang Si Hanif ni pulak, bila nampak kita kat pasaraya hari tu, ayah dengan ibu pun ada. Dia beranggapan yang abang ni tunang awak. Sebab tu dia menyepikan diri. Dek kerana kecewa dan makan hati, dia terima tawaran sambung belajar di salah sebuah university di England. Bukan ke sengal namanya tu. Masing-masing makan hati, fikir perkara yang salah.” Abang sambung semula cerita dia dengan panjang lebar.

Terkebil-kebil aku memandang abang. Apa benar yang aku dengar ketika ini atau hanya mimpi? Kedua belah pipi ku sentuh lalu menepuk-nepuk perlahan. Kalau tak sakit sah aku bermimpi.

“ Papp…!” Aduh….perit juga ye tepukan manja aku ni, cuba tepukan yang power punya boleh pengsan.

Eh…sakit la. Eh…semua ini betul, bukan mimpi. Ya bukan mimpi. Salah faham rupanya semua ini. Oh Hanif, maafkan aku.

“ Ha…..tengok tu bu..dia dah mula berangan lagi.” Kata-kata abang buatkan lamunanku terhenti. Aku kembali ke alam nyata. Kembali fokus pada cerita abang.

“Begitu ceritanya, tapi……..macam mana abang tahu?”

“Jumpa dengan dia dua minggu lepas, terserempak dengan dia di pekan. Saja tegur bila Nana kata dia tu ustaz di tempat mengaji. Dari situ la semua cerita keluar.”

Aku menjengkilkan mata ke arah Nana, oooo….pandai betul dia simpan rahsia ye, berminggu-minggu pula tu. Sikit pun dia tak bagi tahu aku. Budak Nana tu boleh buat muka seposen dia, suci la sangat !. Kalau dia bagi tahu aku awal-awalkan mudah, tak ada lah hari-hari aku memendam rasa. Tak kesian ke kat kakak awak ni Nana oiii!

“ Dah….yang awak tenung Nana macam nak makan tu kenapa?” soal Ibu. Aku mendengus seketika, malas untuk mengungkit, lantas aku menyoal abang lagi.

“ Lepas tu apa jadi?”

“ Lepas tu, abang kata la pada dia, kalau kau betul-betul suka kan adik aku, datang rumah. Buat ikut adat kita. Abang ingatkan dia dah tak nak kat Iffa, ye la senyap je. Tup..tup petang tadi dia sampai dengan mak dia, Ustaz Wan dan isteri pun ada.” Cerita abang panjang lebar.

Haih…bodohnya, penat aku menangis, penat aku menahan rasa, menepis segala rindu yang datang menerjah. Rupa-rupanya hanya salah faham? Bazir air mata aku je, huh!

Hati aku ketika itu seperti matahari pagi yang bersinar menerangi alam. Kawanan burung terbang berkicauan bebas di angkasa, rama-rama terbang hinggap dari satu bunga ke satu bunga dengan riangnya. Bunga-bunga dalam taman di hati aku ni kembali mekar semula. Oh bahagianya. Cincin belah rotan itu, aku belek lama.Tampa aku sedar, aku tersenyum lagi. Bahagia telah memberikan salamnya.

“ Ha…dah senyum sediri pulak dah.”

Pang! Terasa bagai ada satu penyepak singgah di muka yang buatkan aku tersedar dari lamunan. Malunya dengan semua orang. Ish..kenapa la dengan kau ni Iffa, kot ye pun happy, control la sikit!

“ Apa jawapan Iffa, terima atau tak?” soal ibu lagi.

“ Akak terima la…terima la. Ustaz Hanif tu handsome apa, kalah Adi Putra yang akak sukakan tu.” Nana pula menyampuk.

“ Entah la, bagi Iffa masa fikirkan dulu.”

“ Istikharah………….” Kata-kata dari ayah cukup ringkas, tapi padat. Terbaik!! terima kasih ayah.

♥♥ **************************************************** ♥♥

“ Kenapa awak tak terus terang dengan saya?” Soal aku kepada Hanif. Sebelum aku buat keputusan, aku perlu dengar penjelasan dari mulut Hanif sendiri.

“ Saya dah cuba terangkan, tapi awak tak mahu dengar. Awak tetap bertegas mengatakan yang saya dah bertunang. Sampaikan tiada ruang untuk saya bercakap.” Kata-kata yang sangat tepat lagi padat. Betul-betul terkena pada batang hidung aku.

“ Ini la saya, tak ada yang istemewanya, terlalu banyak kekurangannya. Saya ni panas baran, pemalas pulak tu. Tak pandai masak. Awak tak risau ke, aku tak takut awak tersalah pilih?” sengaja aku ingin menduga Hanif.

“ Tak.” Pendek sahaja jawapan Hanif.

“ Amboi..yakinnya dia. Apa yang buatkan awak yakin dengan pilihan awak?”

Hanif terdiam buat beberapa saat.

“ Kita manusia biasa, memang terlalu banyak kekurangannya. Saya pun macam tu juga, tak sempurna. Kekurangan kita itu la yang akan buatkan kita saling melengkapi. Saling memerlukan satu sama lain.” Tenang sahaja kata-kata yang keluar dari mulut Hanif. Ketenangan itu la yang buatkan aku jatuh hati dengan dia.

“ Awak tahu tak?” soal Hanif.

“ Tak……” pantas saja aku menjawab. Serta merta tawa Hanif terhambur keluar.

“ Ini la yang saya suka tentang awak, selambe je tapi kelakar. Aku jadi diri awak sendiri."

" Oh...iye ke?"

" Iya....ok lah biar saya bagi tahu apa yang awak tak tahu ye.”

“ Ok…mulakan lah bagi tahu apa yang saya tak tahu.” Waktu itu wajah aku dah merona kemerahan bila dipuji.

“ Sebelum saya datang ke sini, saya dah jumpa awak dulu.” Berkerut dahi aku cuba memahamkan kata-kata Hanif.

“ Macam mana tu? Awak mengendap saya eh…?” Hanif menggeleng-gelengkan kepalanya, tawanya masih bersisa.

“ Saya jumpa awak dalam mimpi."

Aku memberikan pandangan yang pelik kepada Hanif. Mimpi? boleh percaya ke?. Mamat itu ketawa lagi. Entah apa la yang menggelikan hati dia pun aku tak tahu.

" Memang saya sedang mencari jodoh. Pada Allah saya pohon doa agar Dia pertemukan saya dengan jodoh saya. Tiga kali awak datang dalam mimpi saya tau. Pertama kali lepas solat istikharah, saya nampak awak tapi dari jauh. Awak tak pandang saya pun. Kali ke dua, awak datang lagi dalam mimpi saya. Ketika kita bertemu, tapi ada cahaya terang menghalang saya dari melihat awak dengan jelas.”

Oh bagaikan cerita dongeg la pulak, namun aku mendengarnya dengan sabar.

“ Yang ke tiga?”

“ Yang ketiga, malam sebelum saya berangkat ke sini. Kita bertentangan mata, saya dan awak. Kita tidak bercakap hanya tersenyum. Wajah awak jelas sangat. Saya yakin mimpi itu petunjuk dari Allah. Sebaik sahaja saya tiba di sini, ya saya nampak awak. Saya nampak awak sedang memandu, hati saya dah berdetik dah. Walaupun kita belum berkenalan tapi saya tahu itu awak.”

“Sungguh ke ni? kenapa saya tak dapat pun petunjuk macam awak?” soalan aku kali ini disambut dengan senyuman pula.

“ Mungkin awak tak sungguh-sungguh meminta jodoh, tidak seperti saya.” Aku mengangguk perlahan. Aku tak boleh menyangkal kata-kata Hanif, memang ada benarnya. Aku tidak bersungguh.

“ Mimpi ke dua…masih ingat kah awak pada malam itu? Awak hantar Nana ke tempat mengaji dan hampir-hampir melanggar saya?”

Oh…aku terkedu. Cahaya terang itu, adakah datangnya dari lampu kereta aku? Aku cuba kaitkan mimpi-mimpi Hanif dan juga pertemuan kami.

“ Dan yang ketiga…………..”

“ Pertemuan kita di warung Mak Ndak kan?” cepat-cepat aku memintas kata-kata Hanif. Ku lihat mata Hanif bercahaya bila bercerita, bersungguh-sungguh benar.

“ Mungkin awak rasa saya hanya mereka-reka cerita, terpulang lah. Apa yang pasti saya benar-benar ikhlas dengan awak. Awak fikir lah baik-baik, kalau masih sangsi minta lah petunjuk dari Allah. Mungkin mimpi-mimpi saya tu hanya mainan tidur, entah lah….”

Aku masih lagi memandang wajah Hanif dan kali ini lama. Entah kenapa aku rasa tenang dan setiap bait patah perkataan yang lahir dari mulutnya ku rasakan sangat ikhlas. Tapi……..sejauh manakah keikhlasan dia? Adakah sekadar di bibir tidak dari hati? Ya Allah Ya Tuhan ku…berikan lah aku petunjuk Mu.

♥♥ **************************************************** ♥♥

Aku memandang di sekeliling bilik ku yang dihias indah, dari cadar hingga lah ke langsir, semuanya berwarna putih. Katil antik milik arwah nenek, di cat semula dengan warna coklat gelap. Warnanya seakan-akan warna kayu dan kemudiannya di lilitkan dengan kain putih dan dihiaskan pula dengan gubahan bunga liliy putih. Sangat cantik, seperti katil sang puteri yang duduk di istana. Putih bersih lagi suci. Aku tersenyum sendiri, bagaikan mimpi. Sungguh aku tak menyangka secapat ini.

Aku terima lamaran Hanif dengan hati yang terbuka. Aku fikirkan nak la tunang dulu sementara nak menunggu dia habis belajar, yer la boleh buat persiapan lama sikit. Tapi pihak lelaki nak cepat, tak nak tunang dan terus nikah dalam masa yang terdekat, kerana Hanif perlu berlepas ke England. Kononnya tak sanggup nak berpisah dengan aku lama-lama. Oh, so sweet.! Setelah berbincang dengan ibu dan ayah, akhirnya mereka bersetuju.

Bila bercakap tentang England, sekali lagi aku mengukir senyuman. Aku akan ikut Hanif, temankan dia di sana selama dua tahun. Wow..!! sekali lagi aku rasakan bagaikan mimpi. Pernah dulu aku berangan, aku bersiar-siar di Kota London, merasa memakai kot tebal tika musim sejuk sambil melihat pemandangan di sana dan kini impian aku bakal menjadi kenyataan.

Pernah dulu aku suarakan angan-angan aku pada ayah, pada ibu. Nak tahu apa yang ayah kata pada aku?

“Dari habiskan duit ke London, baik pergi ke Mekah buat haji tak pun buat umrah.” Pergh! Kata-kata ayah bagaikan peluru. Peluru yang dilepaskan oleh polis pencen ini sangat tepat, menusuk ke kalbu. Apa orang cakap, makan dalam! Itu lah ayah aku, tak gemar berkata-kata kosong hanya akan bercakap bila perlu. Serius memanjang.

Aku pandang katil ku sekali lagi, tiba-tiba fikiran nakal menerjah fikiran. Macam mana yer nak berkongsi katil dengan orang asing, dengan lelaki pula tu. Malam pertama? Oh….tiba-tiba kepala ku berdenyut, perut terasa sebu bila memikirkannya. Sebelum aku cuti lagi Kak Mira sudah mula mengusikku tentang malam pertama. Itu lah, ini lah, bikin hati aku resah. Tapi semasa mengikuti kursus perkahwinan, memang setiap pasangan telah di dedahkan tentang ini, tidak ada apa yang perlu dirisaukan, tapi aku tetap risau.

Ada satu perkara yang aku lupa nak cerita. Hanif suka sangat panggil aku Nini. Puas aku betulkan, bukan Nini la Iffa. Tapi Nini juga yang dia sebut. Katanya panggilan Nini tu lagi comel dari Iffa. Pada mulanya aku tak setuju, tapi lama-lama….tak kuasa lah nak betulkan. Nini pun Nini lah, cuba aku minta dia janji dengan aku jangan panggil aku Nini depan Nana. Habis aku dibahannya nanti.

“ Iffa…..!” bagai mahu luruh jantung aku bila tiba-tiba sahaja ibu berada di pintu. Entah bila ibu masuk pun aku tak perasan.

“ Sudah-sudah la tu berangan, cepat pergi tidur. Esok nak nikah, nak ke mata tu sembab?” Ibu sudah memulakan khutbah malamnya. Aku sekadar tersenyum kelat. Toto yang dibentang di lantai bilik aku betulkan, bantal kepala aku tepuk-tepuk manja dan terus merebahkan diri. Selimut ku tarik sehingga ke paras dada dan cepat-cepat memejamkan mata. Lepas ibu berpuas hati baru lah dia keluar dari bilik aku.

Huh! Dah macam budak-budak pulak aku rasa, nak tidur pun kena paksa. Dah la kena tidur atas lantai, tak diberinya aku tidur atas katil. Nak kahwin punya pasal aku redha, ikutkan saja. Mata ku mula kuyu, fikiran dah mula melayang entah ke mana, tiba-tiba aku terkejut dengan deringan dari telefon bimbit ku.

Selamat malam isteri ku…eh silap...bakal isteri ku.. :)

SMS dari Hanif buatkan aku tersenyum bahagia. Aku tidak membalas SMS Hanif, memang aku sengaja. Berpantang lah kononnya. Malam ini aku tidur dengan senyuman. Kebahagiaan sedang menanti di hadapan. Insya’Allah.

♥♥ **************************************************** ♥♥

“ Aku terima nikahnya Iffah Haryani Binti Isa dengan mas kahwinnya empat puluh ringgit tunai….” Hanya dengan sekali lafaz yang lancar tampa tersekat-sekat aku kini sah menjadi milik Hanif. Hak milik sepenuhnya Ahmad Hanif Zikrullah Bin Muhammad.

Saat itu, air mata tampa di tahan-tahan berderaian jatuh membasahi pipi. Ibu yang sedia duduk di sebelah, ku peluk erat. Begitu juga dengan ibu, seolah-olah tidak mahu melepaskan pelukkan itu.

Mana ayah?

Tadi dia ada di hadapan Hanif, sama-sama menjadi saksi pernikahan kami, kini ayah hilang. Ayah ke mana?

Setelah bersalam-salaman dengan sanak saudara, aku keluar dari masjid untuk mencari ayah. Mata ku terpandang akan susuk tubuh seorang lelaki tua duduk di hujung masjid. Itu ayah! Cepat-cepat aku menghampiri ayah lalu bahunya ku sentuh lembut.

Saat dia memalingkan wajahnya, ku lihat mata ayah basah, basah dengan air mata. Ayah menangis? Oh bagaikan tidak percaya. Tadi ayah nampak cool seperti kebiasaannya, sedikit pun tiada riak gelisah. Tapi kini..ayah menangis.

“ Ayah………” Terus ku kucup tangan ayah, sekali lagi air mata ku berjuraian jatuh.

Ayah menarik tubuh ku lalu didakap erat. Terasa sangat selamat bila berada dalam pelukkan ayah. Nak merasa dipeluk seperti ini hanya lah setahun sekali, iaitu pada pagi hari raya. Hari-hari lain jangan harap. Memang keluarga aku tak mengamalkan budaya peluk memeluk ni. Biasanya aku akan rasa canggung tapi tidak pada hari ini.

“ Iffa dah jadi isteri orang, isteri Hanif. Jadi lah isteri yang baik, taat pada suami, pada perintah Allah. Pandai jaga maruah diri, maruah suami.” Dalam tersedu sedan, aku mengagguk perlahan.

“ Hanif………..jaga Iffa baik-baik. Dia tanggungjawab kamu sekarang.” Pesan ayah lagi. Entah bila Hanif berada di belakang aku, aku pun tak perasan.

“ Apa saja lah dua beranak ni. Sudah-sudah la tu menangis. Jom balik rumah siap-siap tuk majlis bersanding pula.” Drama tangisan air mata terhenti serta merta.

Hanif dan aku saling berpandangan, tangan ku diraih lalu digenggam erat seakan tidak mahu lepas, aku sempat memandang ke arah langit, hati ku tidak putus-putus mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Yang Maha Esa di atas kurniaan yang tidak terhingga ini.

Pssst......England sedang memangil-manggil. Seminggu dari sekarang kami akan ke sana. Oh..tak sabarnya!


♥♥ **************************************************** ♥♥

ok....tamat sudah kisah ini.

cerita AKU, DIA & TZM akan disambung selepas ini....tunggu ya. Saya tengah cari ilham. (^_^)

3 comments:

El Fye said...

macam gantung plak cite nie.. sambungla kisah iffa kat london plak...

nabilah_2908 said...

kisah Iffa di London?

sy kena buat bnyk research tntg london dulu la...baru boleh sambung...huhu.. :)

terima kasih sudi baca cerita ini.. :)

Anonymous said...

Haaaahhhhh.... mcm cerita idup sy... tapi awek sy yg kawen... sebijik mcm cerita ni.... sedih2