Thursday, April 18, 2013

AI'NYRA VS AIRUL - 3

...HAPPY READING... 
 ♥♥ **************************************************** ♥♥


Airul memandang kiri dan kanan cuba mengecam tempat. Sesekali dia mengerling ke arah Hasib yang tenang memandu. Seawal pagi lagi Hasib sudah menalifon Airul berkenaan kereta kawannya yang rosak. Airul terus minta Hasib datang ke bengkel tempat dia bekerja dan membawa dia ke tempat kereta yang rosak itu. Dalam lima belas minit perjalanan, mereka tiba di hadapan kedai kek. Berkerut dahi Airul membaca nama yang tertera di hadapan kedai kek itu Ai’ Bakery.

“ Ai tu dalam bahasa cina bermaksud cinta.” Terngiang-ngiang di telinga kata-kata ayahnya suatu ketika dulu. Balik sahaja daripada tadika, Airul menangis-nangis mengadu kepada ayahnya yang kawan-kawan semua mengejek mengatakan dia adalah perempuan bukan lelaki. Nama Airul adalah untuk perempuan bukan untuk lelaki, dengan wajah tenang ayahnya memujuk.

“ Airul kan lelaki, Airul tahu yang Airul hero ayah kan? Airul adalah tanda cinta ibu dengan ayah. Nama ibu Aini dan nama ayah Zamrul, bila kamu lahir jadilah Airul gabungan nama ibu dan ayah. Airul adalah cinta ibu dan ayah.” Jawab ayahnya sambil tersenyum mesra.

“ Tapi….mana ibu?” persoalan itu hanya tinggal soalan sehinggalah dia dewasa.

Kerana ibu, dia bersikap agak kurang senang dengan perempuan akan tetapi tidak lah sampai boleh dilabelkan sebagai anti perempuan. Dia tetap hormat pada insan yang bergelar wanita. Cuba bila datang soal hati dan perasaan, Airul akan mengelak. Baginya perempuan itu golongan yang menjengkelkan, hanya tahu membawa sedikit kebahagiaan selebihnya adalah kemusnahan dan kesengsaraan. Dia tidak mahu menerima nasib yang sama seperti ayahnya yang merana kerana ditinggalkan oleh ibunya.

Biarlah rakan-rakannya berkata yang dia meminati kaum sejenis, sedikit pun dia tidak ambil pusing, lebih-lebih lagi bila dia berkawan rapat dengan Salleh yang memang terkenal dengan gelaran ‘Sotong’. Biarlah apa orang nak kata, dia tahu siapa Salleh, dia senang berkawan dengan Salleh, dia lebih mengenali dirinya sendiri, dan paling utama dia masih lagi ada pegangan agama.

“ Airul…kenapa termenung pula tu, kita dah sampai.” sapaan daripada Hasib buatkan dia tersentak.

“ Err.. tak ada apa la bang. Mana satu kereta yang rosak?” soal Airul.

“ Satria Neo warna putih tu. Dari semalam tak boleh start, bateri agaknya. Semalam abang ingat nak pergi tengok-tengokkan juga, tapi tuan punya kereta kata dia letih pagi ni saja lah. Ini lah kedai tuan punya kereta, Ai'nyra namanya.” Balas Hasib panjang lebar.

“ Oh…Ai'nyra nama dia ye bang.” Airul mengangguk perlahan.

“ Lebih kurang macam nama kau je Airul.” Balas Hasib, Airul tersengih dalam hatinya mengiayakan kata-kata Hasib.

Bila kunci kereta bertukar tangan, Airul segera menghampiri kereta Satria Neo tersebut. Dia cuba menghidupkan enjin, ternyata benar enjin kereta itu tidak mahu hidup malah segala lampu yang sepatutnya menyala tidak menyala, mati. Dia membuka bonet hadapan kereta untuk melihat enjin.

“ Ya Allah, berdebunya dalam ni.” Matanya terus dihalakan ke arah bateri kereta.

“ Dah agak dah, tak reti jaga kereta la orang ni.” Di sekeliling kepala terminal bateri itu diseluputi oleh debu berwarna putih kehijauan. Airul menguis debu putih yang melekat itu dengan kunci. Dia dapati logam penyambung terminal bateri ini telah putis akibat dihakis oleh debu putih tersebut.

“ Kepala terminal ni tercabut bang, boleh minta air panas dari orang dalam?” pinta Airul. Hasib mengangguk dan terus memanggil nama Ai'nyra. Namun bukan Ai'nyra yang keluar tapi isterinya.

“ Mana Ai'nyra? Si Airul nak air panas.”

“ Nyra tengah sibuk tu bang, tak apa biar saya ambilkan.” Kak Syikin bergegas masuk ke dalam semula. Selang beberapa minit, Kak Syikin keluar daripada kedai sambil membawa sebuah tarmos berisi air panas. Tanpa berlengah Airul menuangkan air panas tersebut ke atas terminal bateri yang berselaput dengan debu putih, bagaikan ais yang terkena air panas, debu-debu putih itu melebur mengalir bersama-sama dengan air panas.

“ Abang tengok ni, debu putih ni ataupun kita panggil tahi bateri ni yang mengikis penyambung terminal sampaikan terputus. Tak apa saya ada bawa penyambung nanti saya pasangkan. Bateri tak ada masalah, masih baru cuma kena rajin jaga kalau nak bateri ini tahan lama.” Kak Syikin dan Hasib melopong mendengar penjelasan Airul.

“ Patutnya Nyra kena dengar ni, tapi dia tengah sibuk mengadun kek tak dapat nak buat apa.” Keluah Kak Syikin.

“ Tak apa lah tu kak. Saya dah siap betulkan kereta ni. Bang, rasanya dah boleh gerak dah ni, kat bengkel tu banyak lagi kereta belum siap bising pula boss saya nanti.”

“ Iya lah, iya…tapi bayarannya berapa?” soal Hasib.

“ Benda kecil ni je, bagi saya tiga puluh cukup lah bang.”

“ Tiga puluh je? Tunggu sekejap akak masuk dalam ambil duit ya.” Airul hanya mengangguk perlahan sambil matanya melihat-lihat keadaan enjin.

♥♥ **************************************************** ♥♥


          “ Kak, macam mana dengan kereta?” soal Ai'nyra sambil mengelap tangannya yang basah dengan kain.

             “ Dah selesai dah. Dia minta tiga puluh ringgit. Nyra ada? Kalau tak ada, dulukan duit akak dulu.”

          “ Ada kak, kejap.” Ai'nyra menyeluk poket seluarnya lalu mengeluarkan sekeping wang lima puluh ringgit lalu dihulurkan kepada Kak Syikin.

          “ Akak beri la lima puluh ni pada dia, tak perlu minta baki.” Ujar Ai'nyra sambil tersenyum. Kak Syikin keluar kembali sambil dibontoti Ai'nyra sehinggalah ke keretanya.

Dari jauh kelihatan mekanik yang lengkap berseragam biru muda terbongkok-bongkok melihat enjin keretanya. Ringan sahaja mulutnya ingin menegur dan ucapkan terima kasih. Namun sebaik sahaja mekanik itu memalingkan wajah ke arah dia, masing-masing tergamam. Kejadian semalam kembali terbayang-bayang dibenak masing-masing. Ai'nyra mengetap bibir, Airul pula memandang wajah Ai'nyra dengan pandangan yang tajam.

“ Kecilnya dunia,” ucap Airul sinis. Ai'nyra tidak mampu berkata apa.

Airul kembali memusingkan tubuhnya membelakangi Ai'nyra, tiba-tiba sahaja dia mendapat akal. Airul tersenyum sinis sambil tangannya menyentuh sesuatu dan dia tersenyum lagi. Bonet kereta ditutup. Lima puluh ringgit pemberian Kak Syikin dicium sambil menjeling ke arah Ai'nyra. Ai'nyra mencebikkan bibirnya.

“ Dah macam orang tak pernah dapat duit” ujarnya perlahan namun jelas dipendengaran Airul.

“ Memang pun, aku tak pernah dapat duit daripada perempuan macam kau, Cik Sopiut.” Nada suara Airul masih lagi sinis. Riak wajah Ai'nyra terus berubah.

“ Sopiut? Siapa Sopiut?” soalnya.

“ Engkau lah…..” balas Airul dalam masa yang sama dia mula mengemas barang-barangnya.

“ Eh…sesuka hati panggil orang Sopiut, Ai'nyra lah..huh!”

“ Aku tahu, muka kau terpampang dalam majalah apa tah! Tapi nama tu tak sesuai dengan kau, Sopiut sangat sesuai, muka je nampak baik hakikatnya hancus.” Kata-kata Airul buatkan darah Ai'nyra mendidih. Siapa dia untuk mengutuk  namanya. Namun belum sempat membalas, Hasib dan isterinya datang menghampiri.

“ Dah ke bang, marilah kita gerak sekarang.” Ujar Airul, Hasib yang terpinga-pinga melihat dia dan Ai'nyra yang  bermasam muka hanya menurut.

“ Siap lah kau…….” Bisik hati kecil Airul.


♥♥ **************************************************** ♥♥

Apa akan jadi pada kereta Ai'nyra agaknya ya..? (^_^)

2 comments:

MaY_LiN said...

jadi ape..?
lovey dovey la..
hikhikhik

ein said...

perang sudah ....hehehe...

semakin menarik dan menghiburkan....