Friday, August 17, 2012

AKU,DIA & TZM - PART 45

...HAPPY READING...
♥♥ **************************************************** ♥♥


Mustaqim tenang duduk di dalam kereta sambil matanya tidak lepas-lepas memerhatikan Nurien dari kejauhan.

Pertemuannya dengan Zalia pada malam itu telah merungkaikan persoalan siapa Nurien itu sebenarnya. Perasaan dendam terhadap Zalia mulai berkurangan, malah dia sudah mula merancang untuk melupakan sahaja niatnya untuk membalas dendam terhadap Zalia. Cerita dari Zalia tentang anaknya itu buatkan dia benar-benar bersemangat untuk meneruskan hidup. Bagaikan telah dilahirkan semula. Benar lah sangkaannya Nurien itu adalah Naurah, dia kini faham kenapa Naurah menukar namanya menjadi Nurien.

Masih segar diingatannya tatkala dia menjejakkan kaki di rumah agam tersebut. Getaran yang sama dirasakan saat pertama kali dia di bawa oleh Naurah masuk ke dalam rumah itu.

“ Jemput masuk Encik Mus, puan minta Encik Mus tunggu sekejap dia mahu solat Isyak dulu.” Ucap pemandu Zalia dengan penuh hormat.

Mustaqim melangkah masuk berjalan tenang mengekori Eman ke ruang tamu rumah agam tersebut. Sempat dia memerhatikan keadaan sekeliling. Susun atur perabot orang-orang kaya, semuanya sama. Harus punyai kerusi-kerusi besar yang diimport dari luar negara, susun atur gaya Inggeris itu sudah pasti. Puas memerhatikan keadaan sekeliling, matanya tertacap pada satu sudut yang penuh dengan gambar. Zalia memang gemar mengumpul gambar, di pejabatnya juga ada satu sudut yang penuh dengan gambar dia dan keluarga.

“ Jemput duduk, kenapa berdiri sahaja. Ini makcik ada bawakan air.” Mustaqim yang leka memerhati tersentak bila melihat Mak Diha yang baru sahaja meletakkan dulang yang berisi minuman di atas meja. Mereka berpandangan buat seketika. Berkerut-kerut wajah Mak Diha memandang Mustaqim, lagaknya seperti cuba mengingati sesuatu. Timbul rasa gusar di hati Mustaqim. Sekiranya Mak Diha ingat, pasti tembelangnya pecah.

“ Anak ni asal dari mana? Makcik macam pernah nampak sebelum ni.” soalan dari Mak Diha buatkan Mustaqim tidak senang duduk.

“ Err, saya….saya asal dari Sa…Sab..Seremban.” Jawab Mustaqim tergagap-gagap. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Mak Diha mengecamnya. Sungguhpun mereka tidak pernah bertemu, namun dia tahu Naurah banyak bercerita tentang dirinya kepada Mak Diha.

“ Oh…orang negori lah ye. Ingatkan orang Kuala Selangor, kampong makcik di situ. Mana lah tahu kita sekampung. Tak apa lah, jemput minum sekejap lagi Puan Zalia turun.” Mak Diha berlalu meninggalkan Mustaqim sendirian. Saat itu Mustaqim melepaskan nafas kelegaan.

Tidak betah duduk, Mustaqim bangun menghampiri sudut yang dipenuhi dengan gambar. Satu persatu gambar ditatap. Ada gambar Zalia dan suaminya dan juga gambar-gambar Naurah dari kecil hinggalah dewasa. Hatinya sedikit terhibur melihat aksi-aksi comel Naurah. Hatinya tiba-tiba bergetar bila melihat satu gambar Naurah yang sedang tersenyum manis sambil memeluk Mak Diha. Baju yang dipakai Naurah adalah baju yang sama Naurah gunakan saat mereka pertama kali bertemu. Perasaan rindu semakin meluap-luap, dadanya terasa sesak sehinggakan dia sukar untuk bernafas.


“ Lama tenung gambar tu, berkenan ke?” Hampir terlepas bingkai gambar di tangan Mustaqim akibat sapaan Zalia. Cepat-cepat dia meletakkan semula. Dia hanya menyengih tidak menjawab.

“ Kalau awak belum bertunang, berkenan juga saya nak jadikan awak menantu,” ucap Zalia beserta senyuman. Mustaqim membalas senyuman Zalia. Dia tahu Zalia menyindiri dirinya.

“ Tapi...belum tentu pihan saya menepati citarasanya. Kalau lah boleh diundurkan masa, saya takkan paksa dia ikut pilihan saya.” Zalia mengeluh.

“ Maksud puan macam mana? Saya kurang faham.”

“ Tak ada apa lah, tunang awak macam mana, dia masih marah lagi? Nanti sampaikan salam pada dia ya, katakan yang saya minta maaf.” Zalia segera mengubah topik.

“ Dengan dia, puan jangan risau. Semua dah selesai. Tapi saya tak faham dengan kata-kata puan tadi. Kenapa perlu diundurkan masa?” Mustaqim tidak berpuas hati bila Zalia mengubah topik perbualan mereka. Zalia pula lambat-lambat menjawab, bagaikan ada batu yang tersekat dikerongkongnya mengahalang untuk dia terus bercerita.

“ Awak tak tahu apa-apa tentang anak saya?” soal Zalia.

“ Tak ada pula yang bercerita dan saya pula tidak bertanya. Apa yang saya perasan selama saya bekerja di sini saya tak pernah pula nampak anak puan. Erm...anak puan masih ada lagi kan?” sengaja Mustaqim mahu melihat apa reaksi Zalia.

“ Ish awak ni, anak saya ada lagi. Cuma jauh, jauh dari saya. Entah lah Mus, ini semua silap saya dan saya redha. Jika jalan in boleh buatkan dia tenang, biar lah dia. Saya dah banyak buat salah.” Cerita Zalia lambat-lambat. Mustaqim pula hanya menadah telinga mendengar cerita Zalia.

♥♥ **************************************************** ♥♥


Mustaqim tersenyum sendiri apabila melihat layanan gadis itu terhadap anak muridnya.

“ Guru tadika yang manis lagi comel!” Monolog Mustaqim.

Sudah seminggu dia memerhatikan Naurah, setiap pagi dan juga tengahari pasti dia akan memakirkan keretanya tidak jauh dari tadika yang diusahakan sendiri oleh Naurah. Tenang hatinya apabila melihat Naurah yang sangat mesra dengan kanak-kanak, di bibirnya tidak pernah lekang dengan senyuman, pandangan matanya penuh dengan kasih sayang. Mustaqim merasakan seolah-olah dia telah jatuh cinta semula dengan Naurah. Gadis itu dirasakan semakin cantik dan ayu lagi-lagi bila baju kurung menjadi pakaian rasminya setiap hari.

Namun perasaan gusar tentang identiti sebenar gadis itu masih ada. Sesekali bertembung mata semasa berada di Restoran Kak Leha, sedikit pun riak wajah gadis itu tidak berubah. Seolah-olah memang benar dia tidak mengenali Mustaqim. Adakah Naurah hanya berlakon atau dia benar-benar tidak ingat akan dirinya?

“Masakan dia boleh lupa pada aku. Hilang ingatan? Ish tak mungkin lah.” Mustaqim bermonolog lagi.

Kegusaran itu hilang apabila sekali lagi dia melihat Naurah tersenyum. Membuak-buak rasa kasihnya pada Naurah. Saat itu dirasakan mahu sahaja dia bertukar tempat dengan anak kecil itu supaya dia turut dapat merasakan kehangatan pelukkan Naurah yang penuh dengan kasih dan sayang.

Penyesalan demi penyesalan tentang kisah silam menyesakkan nafasnya. Kalau lah dia tidak meninggalkan Naurah pada malam itu, pastinya kini dia sedang hidup bahagia dengan Naurah. Dia tidak perlu menyiksa diri melawan perasaan, menyiksa diri untuk cuba melupakan Naurah yang dia sendiri tahu itu semua adalah mustahil bagi dirinya. Otaknya kini ligat mengatur strategi untuk mendapatkan perhatian Naurah. Dia akan perbetulkan kesilapannya yang dahulu, dia akan pastikan yang dia dan Naurah akan hidup bersama tampa ada halangan lagi.

Lamunannya terhenti bila telefonnya berbunyi.

Assalammualaikum abang.
Sorry kalau gangu, saja nak wish good morning pada abang.
Kerja rajin-rajin, take care – Dhiera


Mustaqim mengeluh, baru sahaja memasang angan-angan hidup bersama Naurah, Dhiera pula datang mengganggu angan-angannya. Sejak mereka bergaduh, Dhiera banyak berubah. Tiada lagi perangai keanak-anakkan yang sering membuatkan dia rimas, tiada lagi merengek-rengek mahupun marah sekiranya Mustaqim tidak menghiraukan dirinya. Dhiera kelihatan semakin matang, dengan perubahan ini buatkan hatinya sedikit terusik dengan kesungguhan Dhiera, terusik dengan rasa cinta yang sangat mendalam terhadap dirinya.

Mustaqim memejam matanya rapat-rapat, wajah Naurah dan Dhiera mula bermain-main di fikirannya. Siapa yang patut di pilih, Dhiera ataupun Naurah, antara cinta dan budi? Dia sedar siapa pun yang menjadi pilihannya pasti akan ada yang terluka, pasti akan ada kesan negatifnya.

“ Ya Allah, kenapa begitu payah untuk aku kecapi kebahagiaan?” Mustaqim meraup wajahnya.

♥♥ **************************************************** ♥♥


“ Macam mana keadaan dia sekarang ni Said?”

“ Alhamdulillah puan, elok sahaja dia di sana. Tadika dia pun dah dibuka, puas menunggu untuk mendapat kelulusan, Alhamdulillah akhirnya dia dapat juga buka tadika dia sendiri puan.” Zalia tersenyum kelegaan.

“ Alhamdulillah, saya yang dengar ni pun bangga dengan kejayaan dia.”

“ Tapi…..” suara bekas pemandunya itu tersekat-sekat.

“ Tapi apa Said?” soal Zalia ingin kepastian.

“ Saya masih belum berjaya memujuk dia untuk memaafkan puan.”

“ Tak mengapa Said, sikit pun saya tak kisah. Awak dah tolong jagakan Naurah pun saya dah cukup bersyukur.” Hatinya mula sebak, namun sedaya upaya dia cuba mengawal suaranya. Sungguhpun begitu, dia tetap bersyukur Said bekas pemandunya itu telah membantunya menjaga Naurah. Setidak-tidaknya Naurah tidak lagi hidup sendiri, boleh juga menumpang kasih pada Said, isteri dan anak-anaknya.

“ Ok lah Said, saya ada meeting sekejap lagi. Terima kasih ye Said, sampaikan salam saya pada isteri awak. Senang betul hati saya hari ini.” Zalia bersuara cerita.

“ Errr…baik lah puan Insya’Allah.” Talian dimatikan.

Zalia menyandarkan tubuhnya di kerusi, matanya dipejam serapat-rapatnya. Mengalir air jernih dari tubir matanya. Perasaan rindu yang teramat sangat kepada anaknya sangat mencengkam hati tuanya. Namun dia sedar, dia tidak sepatutnya mengeluh menangisi nasib diri. Ini adalah pembalasan untuk dirinya di atas kesalahan dia yang lepas.

Ya dia redha sekiranya dia ditakdirkan untuk hidup sendirian hingga ke akhir nyawanya. Dia juga redha sekiranya anaknya tidak akan memaafkan dirinya sampai bila-bila. Namun dia tidak dapat menahan tatkala perasaan rindu itu datang, tubuhnya dirasakan lemah tidak terdaya.

Kerana terlalu memaksa Naurah, akhirnya Naurah meninggalkan rumah itu hingga kini anaknya itu masih belum mahu pulang. Dia merantau sendirian ke negara orang membawa hati yang lara. Sedar diri diperhatikan, dari sebuah negara ke sebuah negara dia pergi membawa diri. Sehinggakan satu tahap, sanggup anaknya itu menukar nama bagi mengelak dirinya dijejaki. Marah benar nampaknya Naurah kepada dirinya. Sudahnya dia membiarkan Naurah bebas namun dia tetap memerhatikan Naurah walaupun dari jauh.

Mengimbau kejadian bertahun dulu sering menjadikan dia lelah,


“ Nak ke mana tu Naurah? Bukan kah mama dah kata Naurah tak boleh keluar rumah!” Zalia yang baru pulang dari pejabat tiba-tiba sahaja menyinga bila melihat Naurah yang tergesa-gesa menuruni anak tangga.

“ Nak balik rumah sekejap, ada hal.” Jawab Naurah acuh tidak acuh.

“ Hal apa yang penting sangat tu. Ni tak lain mesti nak jumpa mat rempit tu kan?” Zalia serkap jarang. Naurah memberikan pandangan yang tajam kepada Zalia.

“ Kalau mama nak tahu sangat, mari lah ikut sekali. Malas nak cakap banyak, kat sana nanti mama tengok sendiri.” Naurah telah pun meluru keluar menuju ke keretanya.

Tanpa berfikir panjang Zalia membatalkan niatnya untuk berehat, dia terus keluar mengikuti Naurah. Saat itu tahap kepercayaan kepada anaknya amat rendah sekali. Bimbang sekiranya ini semua alasan untuk Naurah keluar.

Setibanya mereka di hadapan rumah, terdapat sebuah kereta polis dan juga sebuah van putih. Jiran sebelah menyebelah juga turut berada di hadapan rumah. Hatinya berdegup kencang, cuba berteka-teki apa yang sedang berlaku di rumah pemberian arwah suaminya kepada Naurah. Zalia bingas keluar membontoti Naurah. Bagaikan mahu gugur jantungnya apabila melihat Syafiq dan juga Fika keluar daripada rumah tersebut sambil diiringi oleh pewagai agama dan polis.

“ Apa yang kau dah buat ni Fika?” bergetar suara Naurah menyoal Fika. Fika hanya menundukkan wajah.

“ Kalau kau berdua dah suka sama suka, kenapa tidak berterus terang sahaja? Kau tahu kan aku tak cintakan Syafiq, kenapa kau tergamak diamkan diri? Dan di belakang aku kau buat maksiat dengan jantan ni, kenapa sampai macam ni Fika...kenapa?” Naurah meluahkan segala yang terbuku di dalam hati.

Hatinya remuk bagaikan kaca terhempas di lantai dengan perbuatan sahabat baiknya. Dia tidak kisah kalau Syafiq ditangkap berkhalwat dengan perempuan lain, tapi kenapa harus Fika? Zalia yang berada di belakang Naurah terkedu dengan apa yang berlaku.

“ Tepi...tepi lah..!!” semuanya berpaling apabila Datin Maria ibu kepada Syafiq datang meluru ke arah meraka.



“ Encik...anak saya tak salah, dia ni diperangkap. Ni....pelacur murahan ni yang perangkap dia! Betina tak sedar diri, sanggup kau perangkap anak aku hah!” Datin Maria ingin menyerang Fika, namun dihalang oleh Naurah. Sungguhpun kecewa, namun dia tidak boleh menerima Datin Maria menghina Fika.

“ Apa hal kau nak halang aku. Dia ni memang pelacur, dia dah tidur dengan ramai datuk kat sini. Kalau kau tak percaya, kau tanya dia sendiri. Aku nak tengok dia berani atau tak menidakkan!” Datin Maria semakin hilang kawalan, Zalia mengambil bahagian cuba menenangkan dia bersama-sama dengan pegawai agama yang lain.

Naurah memandang Fika mohon jawapan, namun Fika masih lagi menundukkan wajahnya sambil mengangis dan terus menangis. Sedarlah Naurah siapa Fika sebenarnya.

“ Sampai hati kau buat aku macam ni.” Lirih sahaja suara Naurah, terus dia berlalu di situ membawa dirinya jauh dari segala kekecohan. Saat itu di hati Zalia penuh dengan sesalan.

“ Suatu hari nanti, Naurah pasti akan berterima kasih pada mama. Mama buat semua ini untuk kebaikkan Naurah.” Kata-katanya itu mula bermain-main di kepalanya. Kata-katanya itu telah memakan dirinya sendiri.

“ Naurah...nak ke mana tu...” tegurnya.

“ Terima kasih mama, terima kasih atas semua ini.” Balas Naurah. Saat itu mata anak gadisnya basah dengan air mata, jelas terpancar riak kekecewaan di wajah putih mulus itu.

Air mata yang mengalir, cepat-cepat diseka. Setiap kali teringat, setiap kali itu lah air matanya pasti keluar.

“ Kasihan anak aku...............maafkan mama.” Bisik hati kecil Zalia.


♥♥ **************************************************** ♥♥

next.... lepas raya la eh... (^_^)
esok....lusa....kita dah Raya.... so..

SELAMAT HARI RAYA untuk semua pembaca yang setia mengikuti cerita di sini.... maaf yer selalu buatkan kamu ternanti-nanti sambungan cerita ini... (^_^)

2 comments:

ein said...

best....

mustaqim jgn tergoda ngan dhiera yerk....

naurah lagi sesuai ngan mustaqim...

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin

tesheau said...

find more info Dolabuy Balenciaga additional resources linked here Home Page Recommended Site